CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Showing posts with label kampung. Show all posts
Showing posts with label kampung. Show all posts

Saturday, August 10, 2013

Aidilfitri 2013

Kami sekeluarga ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas
Maaf Zahir & Batin

 Di pagi Hari Raya pertama: Bahau

Di petang Hari Raya ketiga: Muar
p/s: Takde sessi bergambar keluarga di Muar tahun nie sebab Kak Jua dah balik Pontian...huhu

Saturday, May 4, 2013

Airiel turns 5

Airiel lahir bulan 5, kebetulan pulak birthday dia tahun ni jatuh pada minggu mengundi untuk PRU13. So, disebabkan nak mengundi, kami pun baik ke Bahau supaya Papa boleh mengundi di sana pada waktu pagi dan petangnay bergegas balik ke Muar untuk Mama mengundi di sana. Jadinya, tahun ni Airiel sambut hari lahir di kampung la... Suka la dia sebab boleh sambut dengan sedara.

Cari punya cari, terjumpa la satu kek ni yang nampak menarik. Walaupun luarannya hijau umpama perasa pandan,yang penting dalamanya coklat. Siap ada 7 orang tengah main bola kat atas kek tu. Siap ada tiang gol sekali tu.

Cerita-cerita jugak, macam mana ekk rupa kek Airiel tu??? Jeng jeng jeng.....

Naurah panggil kek ni, KEK DURIAN

Cuba cari bola di mana???


Lesson learn masa birthday Naurah aritu, letak lilin satu je kali ni....

Untuk pengetahuan, rasa kek ni sangat sedap. Habis licin setelah dibawa ke kampung Nyai....Maklumlah, balik dua-dua kampung kali ni.

3 in 1: Kek dapat, mainan pun dapat + Happy pun dapat!


p/s: Semoga membesar menjadi anak yang soleh ye nak.... Mama saaaaaayangggggg Airiel.....

Sunday, February 27, 2011

Happy 57th Birthday Atok Nasir


Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran ayahanda ku yang ke 57 tahun dan kebetulan pula ianya pada hujung minggu. Jadi, kami adik-beradik sepakat untuk mengadakan sedikit jamuan untuk meraikannya. Bukannya hari ni , tapi semalam. Kami merancang untuk membuat BBQ.


Pemanggang kami beli di Giant Muar selepas kami selesai urusan di bengkel. Oleh kerana ianya sudah tiada stok, kami mengambil keputusan untuk membeli pemanggang yang dipamerkan tapi harga kekal samalah. Kemudian kami membeli kentang goreng, nuget ikan, sosej dan topeng dan terompet untuk digunakan oleh kanak-kanak. Dalam perjalanan balik, kami singgah di tepi jalan untk membeli kupang segar. Kami pilih yang kecil saiznya kerana isinya lebih manis berbanding yang bersaiz besar.


Petangnya, semasa mak, Amin dan Pika serta para cucu ke Bukit Gambir, Abang sayang memulakan acara dengan menyalakan bara. Sebenarnya, abang Haris dah mulakan dulu, tapi tengah bersiap2, dia mendapat panggilan untuk ke Bukit Gambir untuk menjemput mereka yang berada di pekan sebab kereta penuh. Atok telah membelanja basikal seorang sebuah sempena hari istimewanya.





Menu kami pada malam itu ialah, ayam panggang, sosej panggang, ikan cencaru bakar, kupang goreng sambal, nuget ikan, kentang goreng dan makanan utama ilah nasi goreng cina. Air pula berupa air laici dan air teh.



Kami menjemput Atok Odah untuk bersama-sama meraikan hari ini. Lebih kurang jam 9 lebih, Cik Izad sekeluarga datang membawa roti Arab beserta kuah kari.



p/s: Seronok meraikan hari lahir Abah kali nie, tapi pagi tadi kami besedih seketika............

Tuesday, February 22, 2011

Istiadat Kerjan

Hujung minggu lalu 20 Februari 2011 bersamaan 17 Rabiulawal 1432, berlangsung satu Istiadat Kerjan mengikut Adat Pepatih bertempat di rumah Mak Ngah di Kg. Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus.


Dialek Negeri Sembilan menyebut istilah ini sebagai "Kerojan" yang bermaksud 'Kerajaan' dalam bahasa baku. Rujuk di sini



Acara bermula jam 10 pagi di mana bapa dan ibu mertuaku diarak masuk ke halaman rumah dengan paluan kompang. Ala-ala pengantin baru gitu. Bapa mertuaku disambut oleh kakak beliau dengan membasuh kaki sebelum menaiki tangga rumah. Selepas itu mereka naik rumah dan terus duduk di tempat yang disediakan. Ala-ala pelamin la..


Upacara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan seterusnya bacaan Yassin dan Tahlil untuk semua ahli keluarga bapa mertuaku yang telah meninggal dunia.

Di bawah ini merupakan gambar-gambar sekitar majlis di rumah Mak Ngah Dara yang diambil oleh Abang sayang.

Mak dan Amin datang dari Muar turut merafak sembah


Sebelah petangnya, majlis berlangsung di rumah mertuaku. Mengikut adat, acara bermula di rumah pusaka ibu, kemudian barulah dijalankan di rumah sendiri. Petang itu kami menyediakan mee hoon goreng beserta beberapa kuih muih sama ada di tempah ataupun di bawa oleh saudara dan jiran tetangga. Alhamdulillah majlis berjalan lancar sehingga ke penghujungnya.

Kami pulang ke Kuala Lumpur pada keesokkan harinya setelah urusan mengemas pinggan mangkuk selesai.

Hari Khamis nie 24 Februari 2010 berlangsung satu lagi upacara kerjan di rumah mertua ku...Kali ni untuk Dato' Komo dan Dato' Paduka Tuan pula.

p/s: Kesian buat Mak dan K. Kur sebab kami tak dapat balik hari nie demi tuntutan tugas....

Monday, February 7, 2011

Our 6th Anniversary

4hb Februari yang lalu merupakan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke 6. Syukur ke hadrat Ilahi atas rahmat-Nya sepanjang kami melalui usia jodoh kami yang menjangkaui 6 tahun ini. Tambahan pula, bulan lepas kami mengalami kemalangan yang mengakibatkan kereta kami tersadai di bengkel sehingga kini.

Oleh kerana pagi tersebut kami ada aktiviti rewang di rumah sepupu Abang sayang yang mengadakan kenduri kahwin pada esoknya, maka acara memotong kek berlangsung pada waktu tengahari memandangkan pada petangnya kami akan meneruskan aktiviti rewang dan malamnya kami akan menghadiri majlis tahlil.


Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi kami telah pergi ke rumah kak Ani sempena majlis menyambut menantu. Sambil menolong apa yang patut, sempat juga kami bersanding untuk kali ke-2 cuma kali nie ditemani oleh anak-anak tanpa memakai persalinan pengantin. He..he...Nak juga tu mencelah. Itupun puas memujuk cik Abang dan memastikan tiada ramai orang di kawasan pelamin.



p/s: I Love You

Thursday, February 3, 2011

Cuti CNY 2011

1 Februari 2011

hari ni merupakan hari cuti umum bagi Wilayah Persekutuan. Oleh kerana tempat kerja terletak di Kuala Lumpur Selangor, maka secara rasminya kami kenalah pergi ke pejabat. Jalan raya lengang sebab KL cuti dan ramai yang memilih untuk bercuti awal sempena kedatangan Hari Raya Cina. Oleh kerana kami membatalkan kelas kerana ada perubahan pada minggu pembelajaran, maka hari ini kami berkesempatan membeli beberapa barang keperluan untuk mengubahsuai kawasan kerja kami. Idea ni dah lama, tapi seperti biasa kami kena menunggu kewangan stabil di awal bulan untuk membeli keperluan tersebut.

2 Februari 2011

Pagi-pagi lagi kami dah bangun untuk bersiap pulang ke kampung. Sebelum tu, sempat lagi mendapat panggilan daripada mak di Muar yang hendak memastikan bahawa kami memang akan pulang ke Bahau setelah beberapa faktor diambil kira. Sebenarnya, ikutkan perancangan awal, kami akan bergilir balik ke Muar dahulu barulah ke Bahau. Oleh kerana keadaan jalan yang tidak mengizinkan, maka pada cuti kali ini kami akan menghabiskan cuti di Bahau sahaja. Lagipun, 2 minggu yang lalu kami lama tinggal di Muar dek kemalangan yang menimpa kami sekeluarga. Tambahan pula kenduri kendara memang banyak di Bahau ni. Sebelum kami pulang ke Bahau, kami sempat singgah ke Plaza Low Yatt untuk membeli komputer riba Abang sayang yang baru sempena kejayaannya menghabiskan progam Sarjana dalam masa yang ditetapkan. pemilihan untuk membeli komputer riba tersebut tidak mengamil masa yang panjang, sebab kami sudah beberapa kali pergi ke Digital Mall di Seksyen 14 PJ. Abang sayang pula sudah pergi meronda di 'IT Fair' Mid Valley dan semalam kami ada membuat sedikit tinjauan ke Plaza Low Yatt.

Selesai urusan di pusat IT tersebut, kami meneruskan perjalanan ke Bahau. Ketika kami sampai di pekan Senawang, kereta kami tiba-tia berhenti dengan sendirinya. Kami merasa cemas seketika. Rupa-rupanya, skru yang memegang bateri kami longgar.Setelah mengetatkan skru tersebut di Pusat Servis di Stesen Petronas, kami meneruskan perjalanan ke kampung halaman dan tiba dengan aman.

3 Februari 2011

Buat julung kalinya, kami menyaksikan pernikahan antara 2 orang warga tua yang bertempat di Surau Kolej Islam Al-Majidiah berdekatan dengan Pondok Warga Emas Al Majidiah. Majlis pernikahn dijalankan selepas waktu Asar. Pengantin lelaki berusia 70-an manakala pengantin perempuan berusia 61 tahun. Selama nie dengar perkahwinan warga emas di media cetak sahaja, tapi kali ni berlangsung di depan mata. Agak lucu bila mengenangkan pengatin lelaki yang terpaksa mengukang akad beberapa kali. Berdebar agaknya. Maklumlah, majlis kali nie disaksikan oleh semua anak menantu dan cucu. Selesai upacar membatalkan air sembahyang dan bergambar, para tetamu dijemput untuk menjamu di bahagian bawah surau. Buat Haji Alias dan Puan Maimunah, kami ucapkan Selamat Pengantin Baru, Semoga berbahagian sehingga ke akhir hayat. Maklumlah, dengarnya banyak cabaran terpaksa dihadapi oleh pasangan ini sebelum melangsungkan perkahwinan ini. Antaranya ialah banjir besar yang berlaku ketika ini. Untuk makluman pengantin lelaki tinggal di Gemas, baju yang ditempah untuk pengantin perempuan juga tertinggal di Gemas angkara banjir dan gigi palsu pengantin perempuan jugak tidak dapat disiapkan sebelum hari nie. 8 hb baru siap katanya.

p/s: Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

Wednesday, January 19, 2011

Cerita Sedih di awal tahun 2011

Salam......
N3 kedua untuk tahun nie merupakan berita-berita sedih saja....Ada cerita percutian ke PD, tapi nampaknya terpaksa ditangguhkan dulu untuk memberi laluan cerita sadis kami sekeluarga.

Hari nie genap seminggu kejadian yang agak payah dilupakan. Sampai ke malam tadi masih termimpi-mimpi benda yang sama. Kisah bermula pada pagi 12 Januari 2011, di mana kami sekeluarga mendapat berita pakcik ipar kami, Cik Wan yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia akibat masalah paru-paru. Agak terkejut juga sebab sepanjang hayatnya, arwah seorang yang sihat dan tidak pernah mempunyai apa-apa penyakit kronik. Cuma sebelum arwah meninggal, dia dikatakan demam selama sebulan, dan dalam masa seminggu berat badannya turun sebanyak 7 kilo. Sehari sebelumnya, arwah pengsan di sekolah ( arwah merupakan seorang guru) dan apabila di bawa ke hospital, doktor mengatakan bahawa paru-parunya sudah tidak boleh berfungsi. Arwah meninggal dunia jam 3.20 pg.

Pada pagi yang sama, mak memberitahu kami, makcik kami (kakak abah) pula masuk Hospital Tangkak dan keadaannya kritikal. Disebabkan telah berjanji dengan Ain untuk menggantikan dia menjaga "Re-Sit Examination" maka kami tetap datang kerja seperti biasa dan akan pulang ke kampung apabila selesai menjaga peperiksaan tersebut. Kebetulan pula hari itu memang tiada kelas dan Abang sayang pula mengajar pada waktu pagi sahaja. Kami berangkat pulang ke kampung jam 1.00 tengahari. Oleh kerana lapar, kami singgah di perhentian sebalah Senawang untuk mengalas perut. Setibanya kami di Ayer Keroh, kami mendapat panggilan bahawa makcik kami telah meninggal dunia. Ya Allah! Lagi 1/2 jam sahaja untuk kami tiba di Hospital Tangkak. Sampai sahaja di hospital, arwah Wak Bibit masih lagi di atas katil. Sehinggalah pihak hospital datang untuk memandikan dan mengapankan jenazah barulah kami pulang ke kampung sambil membawa Atok Odah sekali. Atok kelihatan cukup lesu, dan kami mengambil peluang membawa atok balik supaya dia dapat berehat walau sebentar cuma. Apa yang tambah menyedihkan ialah, adik-beradik abah kini semua dalam perjalanan ke Pasir Puteh untuk menziarahi keluarga cik Nanuk. Ketika itu mereka berada di Setiu. Maka, mereka meneruskan perjalanan ke Kelantan dan pulang semula ke Johor pada hari yang sama.

Arwah wak Bibit (Hajah Khomariah binti Khalid) dikebumikan jam 10 pagi. Selesai upacara pengebumian, kami singgah ke rumah Arwah untuk memaklumkan kepada mak yang kami akan balik selepas zuhur. Naurah pula tidak mahu mengikut kami balik kerana dia hendak bersama dengan sepupunya yang lain. Selepas bersalaman dengan semua saudara mara yang hadir kami pun meminta diri untuk balik ke rumah. Lagi pun kesian abah berseorangan setelah ditinggalkan selama 3 jam.

Dari sini cerita kami bermula. Tinggal beberapa saat lagi untuk kami sampai di halaman rumah, tiba-tiba kami dilanggar oleh sebuah Hilux saat kami membelok masuk ke jambatan rumah. Saat kereta menjunam ke dalam parit tu memang tak dapat dilupakan. Keadaan masa tu menjadi gelap-gelita. Semasa air memasuki kereta, tanganku memegang Airiel dengan kuat. Tetapi semasa mula tertelan air dan tersedut air parit tersebut, hati sentiasa mengucap dan tangan telah melepaskan Airiel secara perlahan-lahan. Sebetulnya, aku telah berputus asa ketika itu. Tiba-tiba, pintu kereta terbuka sedikit. Rupa-rupanya ada orang datang membantu. alhamdulillah, dapatlah bernafas. Hanya laungan Allahu Akhbar yang keluar dari mulut ini. Oleh kerena, pintu tersekat dalam lumpur, maka mereka terpaksa mengumpil pintu tersebut dengan besi dan pintu dapat dibuka luas. Tapi satu lagi masalah timbul, badan tersekat oleh tali pinggang kaledar. Oleh kerana tak dapat melepaskan diri dari tali pinggang tersebut, kami menjerit meminta gunting. Kebetulan pula salah seorang yang berhenti di tepi jalan, membawa gunting dalam kenderaannya. Akhirnya, aku dapat diselamatkan dan dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans. Selesai urusan di Kecemasan, aku ditahan di Wad manakala Abang sayang dan Airiel dibenarkan pulang.

Itu cerita belah aku. Cerita sebelah suami pula, semasa air mula masuk dalam kereta, dia terus keluar melalui pintu belakang. Kemudian, dia mengambil Airiel yang sudah pun tenggelam dan cuba menarikku keluar tetapi tidak berjaya. Maka dia pusing ke sebelah dan melihat aku sedang diselamatkan. Sebenarnya, dia pun tak dapat mengingati detik-detik bagaimana dia boleh menanggalkan tali pinggang kaledar dan seterusnya keluar melalui pintu belakang dengan keadaan kereta yang dah terbalik!. Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan nasib baik orang yang melanggar tue berhenti untuk menolong kami. Kalau tidak, rasanya takde orang perasaan yang ada kereta telah terjunam terbalik di dalam parit tersebut.






Lihatlah gambar-gambar di atas kesan akibat dilanggar oleh Hilux. Mengikut cerita orang kampung, pemandunya hampir dibelasah orang ramai. Nasib baik polis datang cepat. Andaian orang, pemandu terbabit tidak perasaan ada kereta mahu membelok sebab dia tengah menggunakan telefon bimbit. Boleh dia kata dia tak bawak laju. Kalau tak laju takdenya kami terbalik jath dalam parit. Kami akan membuat tuntutan insurans terhadap kecederaan dan trauma ynag terpaksa kami hadapi.

17 Januari 2011, kami merancang untuk balik ke KL. Jam 7 pagi kami dikejutkan berita makcik, pakcik dan sepupu kami pula terlibat dalam kemalangan semasa hendak menghantar anaknya melapor diri di Peladang, Johor Bharu. Kemalangan berlaku di Panchur. mengikut cerita, Toyota Camry yang dipandu oleh sepupuku Azlan, telah melanggar tiang elektrik sehingga patah dan seterusnya melanggar pokok mangggis lalu menghempap bahagian hadapan kereta berkenaan. ianya berlaku disebabkan hendak mengelakkan seorang penunggang basikal yang tiba-tiba ke tengah jalan raya. Akibat daripada itu, pakicik ku patah gigi dan koyak bibir, manakala makcikku Bik Juk patah di pergelangan tangan kiri.

Kami balik ke KL selepas melawat Bik Juk di Wad 6 tempat aku di rawat kelmarin . Kami selamat tiba di rumah jam 9.30 mlm. Naurah pula demam panas, diikuti Airiel semalam dan hari nie. Cerita sedih bertambah apabila Pika pula gagal memasuki KPLI.... :(

p/s: Trauma masih belum hilang, asal tidur je mesti mimpi terjatuh dalam air.

Thursday, December 2, 2010

Kenduri dan kenduri......

Pertama, 26 November yang lalu ialah Ulang Tahun Perkahwinan Abah dan Mak yang ke-33. Selamat Ulang Tahun. Hari tue kami balik ke kampung sempena majlis kahwin Fuad (kawan Abang sayang) yang berlangsunng keesokkan harinya. Kami bertolak selepas waktu pejabat dan menghadapi kesesakan jalan keluar dari Kuala Lumpur. Niat di hati nak makan malam di rumah, sebab mesti ada sambutan kecil-kecilan walaupun kami sahaja yang balik. tapi disebabkan masing-masing tak makan tengahari, maka kami berhenti mengisi perut yang berkerongcong di R&R Seremban. Anak-anak makan soto ayam, Abang makan nasi berlauk dan Mama pilih bihun sahaja. Sampai di kampung jam 9.30 malam. Pika dah siap membeli mee goreng, sate ayam dan otak-otak. Masih mampu makan. Mak pula dah bakar kek coklat. Tapi tak potong pun sebab, kek Secret Receipi harijadi Kak Jua dan Mak (minggu lepas) masih ada lagi. Tak baik membazir kan...???

Cerita kedua, Majlis Perkahwinan Fuad di Kg. Parit Seri Laut, Parit Jawa. Semasa kami bersiap nak ke kenduri tu, Naurah mengalami kecederaan yang agak parah di kepala sebab terkena paip di bilik air (kes tadah air ke kepala kat bawah paip la tue..) Mula-mula ingatkan benjol je. Jadi, gosok-gosok la kepala dia dengan rambut. Tiba-tiba, tangan Mama ada darah!! Daripada tak menangis, jadi menangis la budak tue...Darah banyak sangat keluar. Dah cuci bawah air yang mengalir pun masih keluar lagi. Bau darah satu bilikk air. Rambut dia lebat pulak tu. Susah nak cari punca darah tu dari mana. Akhirnya, bila darah dah berhenti, barulah dapat cari luka tu. Bentuk "C" lukanya. Bubuh minyak gamat. Lepas tu dah OK... Pukul 12 lebih baru kami bertolak ke Parit Jawa. Rombongan pengantin sampai masa kami tengah makan. Jadi, masa pengantin makan, kami berehat-rehat dalam rumah pengantin. Selesai acara bergambar, kami semua berangkat pulang ke destinasi masing-masing.


Ada 3 cerita untuk N3 kali nie.








Cerita ketiga, malam itu juga kami pergi ke kenduri bacaan Yassin a.k.a Yasinan di rumah Nyai (nenek belah Mak). Dalam pukul 10.00 mlm kami dah balik sebab badan Naurah dah mula panas macam nak demam. Mungkin sebab kejadian siang tadi.





p/s: Balik dari kampung, singgah rumah kakak pulak sebab nak ambil baju batik dan blazer untuk Konvo.

Saturday, July 17, 2010

Kisah keretaku dalam perjalanan ke Homestay Lonek

Minggu nie, cerita tak berapa menarik atas sebab-sebab tertentu...

15 Julai 2010
Seperti yang telah dirancang, hari ni saya akan membawa pelajar Basic Design II untuk ke Homestay Kg. Lonek. Kami berkumpul di Ayu Saji jam 8.00 pagi dan bertolak ke Negeri Sembilan jam 9.30 pagi...mengikut jadual yang telah diatur, kami akan singgah melawat ke Istana Lama Seri Menanti. Oleh kerana tersalah membaca papan tanda, keretaku yang dipandu oleh pelajar terlanggar tembok asrama Sekolah Menengah Seri Menanti, Kuala Pilah. Habis ranap bahagian hadapan kiri Vivaku... Waaa....Setelah memastikan segala yang bertaburan dikutip dan memohon maaf dengan pihak sekolah, maka perjalanan pun diteruskan..Nasib baik enjin tak apa-apa.


Setibanya kami di Istana Lama, kami terus melawat semua tempat termasuklah loteng.


Kemudian, kami terus ke rumah Hajah Badariah, pengerusi Homestay Lonek. Kami dihidangkan makan tengahari berupa ayam masak lemak cili api, sayur dan sebagainya. Selepas berbincang mengenai aktiviti yang akan diadakan, saya terus meninggalkan pelajar dengan mak dan ayah angkat sebab ada urusan di bengkel. Ikutkan perancangan, kami akan melawat Teratak Zaaba jam 4 ptg. Oleh kerana lama berada di bengkel, maka pada jam 5 ptg kami hanya menghadiri majlis penerangan mengenai Homestay Lonek bersama beberapa peserta dari Tourism Malaysia. Acara mengoca ikan pun tak dapat dijalankan kerana tali air dalam.

Malamnya balik ke rumah dihantar oleh Syaiful, Helmie dan Khairul. Dalam perjalannan balik ke rumah mak angkat, mereka singgah membeli durian. Para pelajar kenduri durianlah malam itu, saya pula memikirkan apakah rupa Viva bila keluar bengkel esok....

16 Julai 2010
Esoknya, pagi-pagi lagi dah ke rumah Hajah Badariah. Budak-budak bertuah tue separuh dah bangun, separuh lagi nak kena kejut. Selepas bersrapan, kami terus membuat Analisa Tapak yang terletak di belakang rumah mak angkat mereka. Kemudian kami dibawa melawat ke tempat perusahaan IKS seperti membuat mee kuning & tauhu, anyaman bakul daripada buluh dan kraftangan daripada daun getah dan kertas terpakai. Perusahaan membuat kicap dan tempe tidak dapat dikunjungi kerana ditutup sebab hari sudah tengahari. Masng-masing bersiap sedia nak solat Jumaat.


( gambar lain tidak dapat diambil sebab bateri kamera habis )

Selepas makan tengahari dan berkemas, kami bersiap untuk ke Teratak Zaaba. Selesai membuat lawatan tapak dan analisa tapak, kami singgah ke rumah keluarga mertua. kebetulan pula, bengkel dapat menyiapkan keretaku dengan cepat. Maka dalam pukul 5 ptg, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Memandangkan hari semakin gelap, kami tidak menyinggah ke Ulu Bendul dan hanya memerhatikan Tapak Batu Megalitik dari dalam kereta sahaja.





Kami sampai ke Sri Damansara jam 8 malam. Selesai semua urusan penghantaran pelajar ke asrama masing-masing, saya terus pulang ke rumah untuk mandi dan meneruskan perjalanan kembali ke Bahau bersama suami tercinta.

p/s: Penat tak usah lah cakap, pergi 'jem' balik sesak + hujan lebat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...